Archive for May, 2010

Beburung berzikir disangkar raudhah

Menyambut azan ditabir senja

Insan berkasih kerana Allah

Bertemu berpisah kerana cintaNya

Jangan ada benci

Andainya ada di antara kita nanti
Berubah hala serta janji
Jangan ada benci
Suka dan duka dilalui
Jadikan kenangan di sudut hati

Andainya cita-cita tidak kesampaian
Ikatan murni terputus di pertengahan
Jangan dikesalkan
Jangan lantaran kegagalan
Kita saling berdendam saling bermusuhan

Ungkit-mengungkiti
Sakit-menyakiti
Memusnahkan diri

Kita harus tabah dan bersedia
Cekal hadapi kemungkinan yang tiba
Kadangkala yang berlaku
Di luar kemahuan kau dan aku

checklist

Sebagai lelaki, pernahkah terfikir untuk menjadikan diri sebagai orang dikagumi? Bukan saja memiliki perawakan menarik tetapi hadir dalam satu pakej yang penuh kesempurnaan sehingga menjadi teladan kepada semua – disayangi isteri, dihormati anak-anak, disanjung keluarga dan sekali gus berjaya dalam kehidupan dunia akhirat? Kalaulah anda belum berpunya, pasti ramai yang bakal menjadi pemujanya. Namun berusahalah menjadi lelaki yang sempurna dan cuba memenuhi apa yang diinginkan wanita.

Jika anda mengidam mendapat pasangan yang memenuhi segalanya, tidak salah sekiranya mencuba untuk menjadi lelaki yang sesempurna mungkin. Berikut adalah petua bagaimana hendak memenuhi aspirasi berkenaan dan anda mungkin mampu memenuhinya jika piawaian yang anda ada menepati apa yang dicari golongan hawa. Pastinya jika ciri itu ada pada diri anda, tentunya anda lelaki paling bahagia di dunia ini kerana mampu memenuhi kehendak masyarakat, agama dan meletakkan kesempurnaan diri pada tahap yang sewajarnya.

Marilah kita selidiki kalau ciri-ciri atau petua yang dititipkan ini ada pada diri anda atau sememangnya ia sifat semula jadi anda. Tentu anda bakal diburu oleh wanita mendambakan lelaki seperti dimaksudkan. Pasang niat dan berdoa untuk menjadi suami terbaik. Tanpa berniat dan berdoa anda tidak mungkin jadi suami yang cemerlang. Ramai suami terlupa mengenai hal ini.

Jika sudah mendirikan rumah tangga, bersyukur kerana mempunyai pasangan. Yakinlah isteri anda pasangan terbaik yang Tuhan tentukan untuk anda. Ketentuan Tuhan adalah yang terbaik. Suami ‘mithali’ menjadi kebanggaan isteri. Pastikan anda membentuk sifat positif dan istimewa. Cuba tanya diri apakah sifat atau amalan yang boleh dibanggakan isteri anda. Pastikan anda ada masa untuk berbual dengan isteri setiap hari. Semua isteri bahagia apabila dapat berbual dengan suami. Berapa minit yang anda luangkan untuk berbual dengan isteri setiap hari? Setiap hari pulang dengan senyum dan bersemangat.

Apabila suami tersenyum, isteri dan anak-anak akan bahagia dan rahmat Tuhan akan turun. Senyumlah apabila sampai ke rumah. Pastikan anda bergurau senda dengan isteri di dalam kenderaan semasa dalam perjalanan ke tempat kerja ataupun ke mana sahaja. Ramai suami membazir masa dengan membisu semasa di dalam kenderaan. Telefon isteri ataupun hantar SMS sekadar untuk menyatakan yang anda sayang ataupun rindu pada isteri. Isteri anda akan berasa seronok dan bahagia apabila mendapat panggilan ataupun mesej tersebut. Hiburkan hati isteri anda dengan bercerita, buat lawak atau gurauan yang mesra. Setiap gurauan mengubat hati isteri dan mengeratkan hubungan suami isteri.

Amalkan makan bersama setiap hari. Berbual mesra dan nasihat menasihati semasa makan. Amalan ini akan menarik hidayat Tuhan dan mengeratkan hubungan. Elakkan berbual perkara yang melalaikan semasa makan. Ajak isteri mandi bersama sekali sekala. Bergurau senda semasa mandi bersama adalah sunnah yang dapat mengeratkan hubungan suami isteri.

Bantu isteri melakukan kerja rumah. Ini adalah sunnah yang dapat meringankan beban isteri, mengeratkan kasih sayang dan membahagiakan pasangan anda. Amalkan mesyuarat keluarga sekerap mungkin. Amalan bermesyuarat menarik hidayat Tuhan, mengeratkan hubungan dan menyelesaikan banyak masalah. Pastikan penampilan anda anggun, kemas, bersih, wangi, sihat dan ceria. Ramai suami inginkan isteri yang mengancam, tetapi mengabaikan penampilan diri sendiri. Mana adil ? Didik isteri dengan memberi nasihat dan peringatan secara hikmah.

Jadikan tindakan dan amalan anda sebagai contoh teladan yang cemerlang. Elakan cakap tak serupa bikin. Berikan nafkah kepada isteri mengikut keperluan keluarga dan kemampuan suami. Ramai suami mengabaikan nafkah kerana isteri bekerja. Ramai suami yang kedekut dan berkira. Ini menyebabkan isteri derita dan rumah tangga terancam. Jadikan penawar hati kepada isteri. Ambil berat keperluan, kemahuan dan peka kepada emosi dan situasi isteri. Isteri yang bahagia membentuk keluarga sejahtera. Sentiasa taat kepada semua perintah Tuhan dan memastikan keluarga juga patuh kepada Tuhan.

Suami mithali sentiasa menyimpan rahsia isteri. Ramai suami secara sengaja ataupun tidak sengaja menceritakan keburukan isteri kepada orang lain. Ini wajib dihentikan. Muliakan keluarga isteri seperti keluarga sendiri. Ada suami yang membeza-bezakan antara keluarganya dan keluarga isteri. Ada suami memusuhi keluarga isteri. Anda bagaimana?

Bentuk sifat cemburu yang positif. Cemburu tanda beriman, sayang dan endah. Suami yang tidak cemburu adalah dayus. Isteri amat suka apabila suaminya ada sifat cemburu. Dia rasa dihargai. Jadilah suami yang pemaaf. Syurga isteri di bawah tapak kaki suami.

Maafkanlah isteri setiap malam sebelum tidur supaya rumah tangga bahagia dan isteri mudah masuk syurga. Tegur kesilapan isteri dengan hikmah dan kasih sayang. Isteri merajuk bukan sebab ditegur tetapi cara ditegur yang kasar. Apabila suami kasar, isteri jadi takut, bingung, hiba dan memberontak.

Jadikan Nabi Muhammad s.a.w sebagai ‘role model’. Hidupkan amalan sunnah dalam rumah tangga. Sebut nama rasul apabila mendidik dan menasihati keluarga bagi mendapat hikmah. Mendahulukan keperluan isteri daripada orang lain. Ini adalah tertib memberi khidmat. Ramai suami yang melebihkan orang lain daripada isterinya. Elakan kesilapan ini. Namun, jika ada ibu, dahulukan ibu bapa sendiri dahulu, kemudian isteri. Suruh isteri dirikan sembahyang dan ibadah lain.

Apabila berjauhan, telefon atau SMS bagi mengingatkan sembahyang. Wasiatkan isteri untuk sembahyang fardu dan sunat. Buat pesanan ini sehingga suami meninggal dunia. Cintai isteri sepenuh hati. Cintai tanpa syarat, bertambah mengikut usia, penuh kemaafan, memberi tenaga, tidak pernah sengsara serta berteraskan iman dan takwa.

Sentiasa berubah secara positif. Sebelum cuba ubah isteri dan keluarga, ubah diri dulu. Apabila suami berubah, keluarga akan turut berubah. Apabila suami cemerlang, isteri akan gemilang. Pamer keprihatinan yang tinggi terhadap keluarga. Ramai suami tidak ambil kisah dengan keluarga mereka.Cuba tanya apa lagi khidmat tambahan yang patut diberikan kepada keluarga. Pamer kematangan yang tinggi. Orang yang matang tenang, sabar, waras, bijaksana, dapat membuat keputusan dan cekap menyelesaikan masalah.

Memuliakan semua perempuan bukan sekadar isterinya. Ramai lelaki cuba hormat wanita tertentu sahaja. Ramai isteri yang kecewa terhadap suami yang menghina atau tidak hormat sebarang wanita termasuk pembantu rumah.

Oleh : Ummi munaliza, halaqah.net

Minta pertolongan Allah dengan sabar dan solat

Oleh: DR. ZULKIFLI MOHAMAD ALBAKRI

IBN Jauzi di dalam tafsirnya Zad al-Masir berkata: Sebab turunnya ayat ini ialah orang musyrikin berkata; Muhammad akan pulang dan kembali kepada agama kita sebagaimana kembali kepada kiblat kita. Inilah juga pendapat Qatadah.

Allah berfirman, Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang; kerana sesungguhnya Allah menyertai (menolong) orang-orang yang sabar. (Al-Baqarah: 153)

Firman Allah, Wahai sekalian orang-orang yang beriman! Mintalah pertolongan (untuk menghadapi susah payah dalam menyempurnakan sesuatu perintah Tuhan) dengan bersabar dan dengan (mengerjakan) sembahyang. Ibn `Abbas berkata: Minta tolonglah atas menuntut akhirat dengan kesabaran dalam menunaikan segala fardu dan dengan solat.

Kita akan memperincikan dua jenis permohonan yang disebut oleh Allah iaitu kesabaran dan solat. Justeru akan diperincikan kedua-duanya. Pertama, kesabaran. Ia adalah ketetapan hati dalam menanggung kesukaran begitu juga dengan ujian dan tribulasi.

Sabar merupakan seberat-berat amalan batin atas jasad. Sedangkan solat seberat-berat amalan zahir atasnya. Justeru dengan digabungkan dua perkara sudah pasti membawa kelebihan yang besar, sebagaimana kata Syeikh al-Maghari. Sebagai melengkapkan lagi perbincangan ini, dinukilkan dari buku La Tahzan (Jangan Bersedih) di bawah tajuk Jadikan Buah Lemon Itu Minuman Yang Manis. Antara lain katanya: Orang cerdik akan berusaha merubah kerugian menjadi keuntungan, sedangkan orang akan membuat sesuatu musibah menjadi bertompok dan berlipat ganda.

Semasa Rasulullah s.a.w diusir dari Mekah, baginda memutuskan untuk mendiami Madinah dan kemudian berhasil membangunkannya menjadi sebuah kota tamadun yang sangat akrab di telinga dan mata sejarah. Ahmad bin Hanbal pernah dipenjara dan dihukum dera tetapi kerananya pula beliau menjadi imam salah satu mazhab. Ibn Taimiyah pernah dipenjara tetapi disanalah beliau banyak melahirkan karya yang agung.

Al-Sarkhasi pernah dikurung di pelosok telaga bertahun-tahun tetapi tempat itulah beliau menggarap 20 jilid buku. Ketika Ibn al-Athir dipecat dari jawatannya, dia berjaya menghasilkan karya besarnya yang berjudul Jami’ al-Usul dan al-Nihayah, salah satu buku paling terkenal dalam ilmu hadis. Begitu juga dengan Ibn al-Jauzi yang pernah diasingkan di Baghdad dan kerana itu dia menguasai qiraah al-Sab`ah (bacaan al-Quran atas tujuh qiraat).

Malik bin al-Gharib menderita dengan penyakit yang boleh membunuhnya namun dia mampu menggubah syair-syair yang sangat indah sehingga menandingi penyair besar zaman Abasiyah.

Seterusnya begitulah ketika tertimpa sesuatu musibah anda seharusnya melihat sisi yang paling terang daripadanya ketika seseorang memberi anda segelas air lemon anda perlu menambah sesudu gula ke dalamnya. Ketika mendapat hadiah seekor ular dari seseorang ambil sahaja kulitnya yang mahal dan tinggalkan bahagian tubuhnya yang lain. Apabila disengat kala jengking ketahuilah bahawa sengatan itu sebenarnya memberi kekebalan kepada tubuh anda dengan bisa ular.

Justeru kendalikan diri anda dalam pelbagai kesulitan yang dihadapi. Dengan itu anda dapat mempersembahkan bunga mawar dan melati yang harum kepada kami.

*Solat

Kedua, solat. Ini kerana solat merupakan thiqah dengan Allah. Justeru pertolongan Allah pasti datang dengan sebab mengabdikan diri kepadanya dan inilah yang dilakukan oleh Rasulullah sehingga menjadikan solat cahaya mata dalam kehidupannya. Akhirnya dinaqalkan pendapat Sayid Qutub yang berkata: Kesabaran seringkali disebutkan di dalam al-Quran kerana Allah mengetahui betapa besarnya daya usaha yang gigih yang diperlukan oleh pendirian yang teguh dan jujur untuk mengikuti jalan Allah di tengah-tengah pelbagai godaan keinginan dan dorongan. Ia mememerlukan daya usaha yang gigih untuk perjuangan berdakwah kepada Allah di muka bumi ini.

Mereka iaitu pendakwah dan penjuang memerlukan hati yang tenang, tenteram serta sentiasa bersiap siaga dan berwaspada menghadapi sebarang rintangan sama ada dalaman atau luaran.

Kesabaran dan kegigihan itu diperlukan dalam semua bidang ini. Kesabaran untuk melaksanakan ketaatan-ketaatan dan menjauhi maksiat, kesabaran menentang penderhaka-penderhaka kepada Allah, kesabaran menghadapi aneka ragam tipu daya, kesabaran menunggu pertolongan yang lambat tiba.

Kesabaran berjalan di jalan yang jauh, kesabaran menghadapi perkembangan kebatilan, kesabaran menghadapi kekurangan pembantu, kesabaran menjalani jalan berduri yang panjang, kesabaran menghadapi penyelewengan-penyelewengan manusia dan kesesatan mereka dan kesabaran menghadapi kedegilan yang berat dan penolakan yang pedih.

Apabila mengambil masa yang terlalu lama dan berhadapan dengan usaha yang sukar, kadang-kadang kesabaran menjadi lemah atau terus hilang andainya di sana tidak ada bekalan yang baru. Oleh kerana itulah Allah gandingkan kesabaran dengan ibadat solat. Ini kerana ibadat solat merupakan sumber bekalan jiwa yang tidak pernah kering dan habis.

Ia adalah sumber yang memulihkan tenaga dan memperbaharui bekalan kepada hati kerana itu ia dapat memanjangkan tali kesabaran dan menjadikannya tidak putus. Kemudian ia menokok kepada kesabaran itu kerelaan, kepuasan ketenteraman, kepercayaan dan keyakinan.

Manusia yang fana’ lemah dan terbatas pasti mempunyai hubungan dengan kekuatan Ilahi yang agung di mana ia dapat mencari pertolongan apabila daya tenaga dan kemampuannya melewati batasnya. Apabila jalan perjuangan dirasa begitu lama dan jauh berbanding usianya yang terbatas kemudian ia melihat perjuangannya masih belum sampai ke mana-mana sedangkan hari sudah senja. Dia masih belum mencapai sesuatu kejayaan sedangkan matahari usianya hampir jatuh, juga apabila dia mendapat kejahatan berkembang subur dan kebaikan merosot dan terperosok di mana tiada cahaya kelihatan di ufuk dan tiada tanda di jalan.

Di sini ketaralah dengan jelas nilai ibadat solat, ia merupakan hubungan secara langsung di antara manusia yang fana’ dengan kekuatan yang kekal abadi.